Selasa, 12 Jun 2012
SEJARAH NYA..
Kampung
Bukit Gemuroh, terletak pada Latitud: 5° 1' 42.675" Longitud 102° 59' 30.528" berketinggian 29 meter dari paras laut, telah dibina selepas berlakunya bah merah pada
tahun 1926 dan mendapat nama dengan cara yang agak unik. Kampung Bukit
Gemuroh dibina dengan baik, di sisinya mengalir sebatang sungai yang
cantik yang dinamakan sungai TERSAT. Wujudnya kampung
ini sangat menepati ciri-ciri sebuah kampung tradisional.
Sebelum tahun 1926 tempat ini telah pun dikenali sebagai bukit gemuroh
kerana didapati waktu2 yang tertentu dikawasan ini mengeluarkan bunyi
yang bergemuroh,Bunyi tersebut datang nya dari sebatang anak sungai yang
mengalir dikawasan tersebut,Setelah diduduki maka bersepakat lah
penduduknya memberi nama kampung bukit gemuroh.
Sungai tersat yang mengalir disisi kampung bukit gemuroh.
Sejak
ia dibangunkan, kampung ini telah mengalami banyak peristiwa, seperti
zaman komunis dan zaman pemerintahan jepun yang amat trajis. Pada 1927,
berkebetulan dengan tertubuhnya parti komunis di Malaysia yang bermula
di Singapura pada tahun 1940 hingga tahun 1945. Pada tahun tersebut
telah menjadi titik hitam dalam sejarah dunia dan Tanah Melayu kerana
pada masa itu telah terjadi perang dunia kedua dan peristiwa penaklukan
Jepun di Tanah Melayu. Kesan peperangan dunia kepada Kampung Bukit
Gemuroh tidak terjadi secara langsung, tetapi ia nya sangat diingati
tentang penaklukkan Jepun ke atas Tanah Melayu.
(Jepun permain utama dalam perang dunia kedua dalam misinya untuk
menawan Timur jauh) Banyak peristiwa yang terjadi yang melibatkan orang
kampung dengan pelbagai peristiwa yang menyedihkan..(Semasa perang dunia
kedua dahulu (1942-1946),tentera Jepun dikatakan telah membawa ramai
pemuda tanah melayu untuk berkerja membina landasan keretapi sepanjang
415km dari stesen nong pladuk diKanchanaburi,Thailand ke stesen
thanbyuzayat diBurma(Myanmar).Landasan ini lebih dikenali sebagai
landasan keretapi maut yang dibina untuk memudahkan laluan tentera jepun
menakluki India yang dikuasai olih British pada masa itu..Pemuda2
tersebut dikatakan akan berkerja dengan gaji yang lumayan tapi apa yang
berlaku ialah mereka dipaksa berkerja tanpa gaji makanan dan
pakaian,Ramai dari kalangan mereka meninggal dunia kerana serangan
penyakit atau dibunuh kerana cuba melarikan diri.Kerja dijalankan 24 jam
sehari dengan purata masa berkerja setiap buruh 16 jam sehari tanpa
cuti walaupun sakit,malainkan benar2sakit sehingga tak mampu untuk
berdiri,Tentera jepun akan memerhatikan buruh paksa berkerja dengan
dibekalkan dengan senjata yang lengkap bertujuan untuk mendera buruh
yang malas berkerja.Makanan asas yang disediakan ialah nasi,daging babi
ikan dan sayuran.Buruh paksa yang berugama islam tiada pilihan lain
selain dari memakan makanan tersebut untuk terus hidup.Pakaian mereka
ialah apa yang mereka bawa semasa mula2 tiba dilandasan tersebut,tiada
selimut disediakan pada waktu malam,Hospital yang disediakan ibarat
pondok menemui ajal kerana tiada kelengkpan dan ubat yang sepatutnya
ada.,Bekalan ubat yang datang dari singapura mereka gunakan untuk
kegunaan tentera sendiri.Walau pun hak2 buruh telah diabaikan landasan
keretapi maut berjaya juga disiapkan pada 16 okt 1943 dan dirasmikan
pada 25 okt 1943. Landasan yang dibina menelan kos buruh yang amat
tinggi,dianggarkan 160,000 nyawa telah terkorban dan dinafikan hak
mereka sebagai manusia,Ramai dari buruh telah dibakar,hanya sedikit dari
mereka dikebumikan.Dikatakan satu landasan yang diletakan maka satu
nyawa yang terkorban,Pengeboman Hiroshima dan nagasaki melenyapkan
keegoan jepun dan kalah dalam peperangan dunia tersebut,Sepatutnya waris
kapada mangsa landasan keretapi jepun meminta ganti rugi yang tinggi
dari kerajaan jepun yang ada sekarang kerana kejahatan yang tentera
jepun lakukan kapada buruh paksa melampaui hak2 kemanusiaan...
Antara penduduk kampung bukit gemuroh yang terlibat secara langsung dengan pembinaan landasan keretapi maut ialah,
1) Saleh bin jusuh.
2) Cik Amat Saleh.
3)Mamat bin Khatib Hasan.
4)Pilus bin Khatib Hasan..
Antara penduduk kampung bukit gemuroh yang terlibat secara langsung dengan pembinaan landasan keretapi maut ialah,
1) Saleh bin jusuh.
2) Cik Amat Saleh.
3)Mamat bin Khatib Hasan.
4)Pilus bin Khatib Hasan..
Mereka dikatakan dapat menyelamatkan diri semasa berkerja di Thailand)
Walau
macam mana pun kesan nya tidak sehebat yang dialami oleh penduduk di
sebelah pantai, mungkin kampung ini terletak di kawasan pendalaman dan
menyukarkan dalam hubungan jalan raya untuk kenderaan. Setelah tamat
nya perang dunia dan pendudukan Jepun di Tanah Melayu, telah terjadi
perisytiharan dharurat pada tahun 1948. (Dharurat terjadi antara penuntut kemerdekaan tanah melayu,komunis dan Inggeris)
Dan di peristiwa ini lah penduduk Kampung Bukit Gemuroh mengalami
secara langsung peristiwa hitam tersebut, Dari peristiwa dharurat ini
lah perkataan 'home guard' dan perkataan keinggerisan telah diketahui oleh penduduk kampung.
Agaknya begini lah rupa Kampung Bukit Gemuroh pada tahun 40-an, penuh dengan hutan dan pokok-pokok yang besar. (Bukit
Langkap; Bukit Langkap membawa banyak kisah kepada penduduk kampung
Bukit Gemuroh (Tepas), Bukit Langkap merupakan kebun buah-buahan sejak
zaman berzaman kepada penduduk kampung. Pada awal abad yang lalu.
Diceritakan pada tahun itu, penduduk Kampung Bukit Gemuroh meminjam
peralatan kenduri kawin seperti pinggan mangkuk dan sebagainya dan
dikatakan yang memberi pinjam adalah orang bunian. Kebenaran cerita ini
tak diketahui kerana tiada individu yang boleh mengesahkan peristiwa
tersebut. Selain itu, Bukit Langkap mengalami banyak perubahan keatas
fizikalnya. Pada tahun 60-an, bukit ini telah ditebas tebang untuk
dijadikan kawasan tanaman padi huma dan setelah kawasan itu tidak
produktif lagi, ianya telah ditanam dengan pokok buah-buahan seperti
yang dapat dilihat sekarang).
Perhubungan dengan dunia luar (Pekan Kuala Berang)
untuk Kampung Bukit Gemuroh pada sekitar tahun 50-an sehingga awal
60-an, adalah sungai sahaja iaitu Sungai Tersat. Disekitar tahun-tahun
tersebut Sungai Tersat sangat dalam dan sesuai dimudiki oleh perahu
dagang. Perahu dagang yang paling popular pada masa itu adalah Perahu
Dagang Che Ali kerana daripada beliau lah penduduk mendapat bekalan ikan
dari laut. Selain itu, perhubungan lain hanyalah berjalan kaki ke pekan
sambil membawa barang dagangan seperti ubi dan sayuran. Jalan yang
dilalui sekadar laluan hutan dan denai. Selepas merdeka, penduduk
kampung baru lah beroleh jalan raya yang dibuat yang merupakan tanah
merah yang berbecak. Dikatakan kederaan pertama yang memasuki kampung
pada masa itu ialah kereta ranger yang menguruskan hutan dan tanah.
HIBURAN DAN KEBUDAYAAN:
Pada
tahun 50-an sehingga tahun 70-an hiburan yang ada hanya rodat, panggung
silat dan tarian balai. Permainan rodat di masa itu sangat popular dan
dimainkan di majlis kenduri kahwin dan majlis berkhatan. Pasukan ini
ditubuhkan oleh persatuan belia yang bergerak aktif pada masa itu dan
pasukan ini menerima tempahan untuk membuat persembahan di
kampung-kampung lain. Panggung silat dikendalikan oleh tok-tok guru
silat dan disertai oleh golongan muda. Tarian balai bergerak aktif pada
tahun 70-an sehingga akhir tahun 90-an. Selain
itu, ada tauke wayang, bermain wayang gambar dengan mengunakan kembes
atau pun daun kelapa sebagai panggung wayang,tiketnya di masa itu
berharga 20sen (1968). Semua
kebudayaan yang ada pada tahun itu, kini sudah tidak lagi bergerak
aktif dan hampir pupus kerana tiada golongan pelapis yang berminat untuk
mempelajarinya. Kebanyakan kebudayaan yang popular pada waktu dulu,
seperti wayang pacak kini telah dikendalikan oleh Jabatan Penerangan
dan Kebudayaan. Permainan
yang paling popular diwaktu itu adalah bola sepak dan beberapa
permainan tradisional seperti gasing, galah panjang, bola cetong dan
sebagainya.
~~Tarian balai~~
KEMPIMPINAN:
Ketua kampung bagi Kampung Bukit Gemuroh boleh dibahagikan kepada dua iaitu ketua kampung sebelum merdeka dan sesudah merdeka:
a) Pimpinan sebelum merdeka:
1) Hamzah bin Khatib Salleh.
2) Hamzah bin Deraman,
3) Tun Hamzah bin Tun Abdullah
b) Pimpinan Kampung Bukit Gemuroh selepas merdeka.
1) Tun Hamzah bin Tun Abdullah
2) Mahmud bin Ahmad
3) Tun Mat bin Tun Hamzah
4) Taha bin Long
5)Ngah bin Ahmad
6)Abdul Manan bin Hassan
7) Abdullah Mamat
8) Abdul Rashid bin Ismail.(Sehingga sekarang 2012)
( Rodat... penari sebenar kumpulan rodat dari kampung bukit gemuroh)
Ya la mu yahayun
muyya la na qayyun
mu yahaye allah qalulabitaya
Ni Ashallilana lana ladihama
Bia duniwa allah niwa ladunia
{sedikit
lirik dari permainan rodat..Perlu disebutkan disini tarian rodat sangat
popular di abad yang lalu,( sekitar tahun 1930 hingga 1950). Ada
beberapa nama guru rodat yang mengajar tarian ini,seperti Pok Loh Rodat
dan Hasan bin mahmud (Tok Hassan)}
(Kumpulan penari tarian balai kampung bukit gemuoh)
Pada
pertengahan tahun 1960, penduduk Kampung Bukit Gemuroh boleh menerima
kepimpinan seperti persatuan belia MAYC.Sebelum itu persatuan belia kampung bukit gemuroh dinamakan sebagai Tunas mutiara. Setelah itu ia bergabung dengan pergerakan belia MAYC malaysia. Dimasa itu ada beberapa nama
yang sangat aktif bergerak dalam pergerakan belia MAYC.
1) Ahmad Salleh.. x
2) Rafi'i Abdullah.
3) Ngah Ahmad x
4)Abu Bakar bin Ahmad
Pada
masa tersebut, disekitar tahun 60-an persatuan belia MAYC ditubuhkan
pada seluruh Mukim Tersat mungkin kerana penerimaan di masa tersebut
agak kurang mengalakan, jadi persatuan ini tidak ditubuhkan di setiap
kampung di Mukim Tersat. Salah satu jasa mereka sehingga sekarang adalah
pembukaan Air Terjun Sekayu.Selain nama2 yang diatas,ada beberapa nama
yang tak boleh diketepikan begitu sahaja dalam dalam pegerakan belia
yang memacu kebudayaan dikampung bukit gemuroh,Nama-nama seperti bakar
mamat, Mohamad abdulah,sri wahana khatib hasan dan ada beberapa nama
yang lain..
Selain itu kegiatan mereka berkisar kepada permainan
dipentas iaitu berdrama, bersandiwara, rodat dan tarian balai. Dalam
bidang sukan bola sepak pula, Kampung Bukit Gemuroh sangat dikenali dan
disegani oleh kampung-kampung lain yang terdapat di daerah Hulu
Terengganu kerana ketangkasan pasukan kampung ketika bermain bola sepak.
Ramai nama yang disegani diketika itu, antaranya ialah Mokhtar Mat
Amin, Mokhtar Mat Zin dan Mohd Ghani Yusuf, Nama lain yang paling ligat
dipadang pada tahun - tahun 70-an ialah Mahalim Shah. (Ada yang masih
hidup dan ramai telah pun meninggal dunia). Belia Kg Bukit gemuruh telah
diberi perhormatan untuk menjual tiket dan menjaga pintu masuk Stadium
Sultan Ismail Nasiruddin Shah semasa perlawanan bola sepak Piala
Malaysia pada tahun-tahun 60-an.
PENDIDIKAN;
Pendidikan
awal di Kampung Bukit Gemuroh hanya diterima selepas perang dunia yang
kedua yang bertepatan dengan penyerahan kalah oleh Jepun (penaklukan
Jepun di Tanah Melayu dimasa perang dunia ke 2) pada tahun 1945. Bahasa
pengantar dimasa itu adalah bahasa arab,guru yang disebut pada masa itu
adalah:
1) Ustaz Ngah bin***********
2) Cikgu Jusuh bin*****
3) Cikgu Ali bin********
(Khidmat
guru-guru ini telah dihentikan sebab terjadi dharurat ditanah melayu
pada tahun 1948. Perlu juga diketahui khidmat guru-guru ini bukan
dibiayai oleh pemerintah pada masa itu, tetapi gaji yang diperolehi
hanya lah dengan memungut daripada orang kampung dan pelajar. Semuanya
berjumlah 20sen sahaja.Makan dan minum guru-guru ditanggung olih penduduk kampung)
Rupa dan wajah duit yang bernilai 20sen, Tertera disitu duit ni keluaran tahun 1948.
Pendidikan
yang kedua hanya bermula pada akhir dharurat iaitu pada tahun 1948. Guru yang mula-mula
datang berkhidmat adalah sepasang suami isteri yang bernama Cikgu Awang
dan Cikgu Hawa dan pada tahun berikutnya telah dihantar seorang lagi
guru untuk membantu yang bernama Cikgu Zawawi. Guru-guru ini dikatakan
sangat erat dengan penduduk kampung sehinggakan mereka dianggap
sebahagian daripada penduduk. (ketiga-tiga
mereka telah pun meninggal dunia pada sekitar tahun 90-an, Alfatihah
untuk mereka. Mereka amat banyak berjasa keatas warga Kampung Bukit
Gemuroh, sehingga dikatakan manusia yang pertama untuk Kampung Bukit
Gemuroh yang membawa/mempekenalkan perkataan baru kepada penduduk) Pada
tahun pertama persekolahan, murid hanya lah dikumpulkan pada satu
kelas/darjah sahaja. Pada setiap akhir tahun, diadakan ujian untuk
menentukan kelayakan murid-murid naik darjah yang berikutnya. Pada tahun
pertama sekolah diperkenalkan, murid-murid hanya lah ada beberapa orang
sahaja.
(Cikgu Embat binti Ismail@Jusuh,
satu2nya cikgu yang mengajar dikampung bukit gemuroh sebelum merdeka dan
masih hidup dan masih lagi sihat,Baru2 ini pada 8hb.julai 2012 beliau
telah datang kekampung bukit gemuroh untuk menemui murid2 nya yang masih
hidup,Ramai dari murid2nya telah pun meninggal dunia,Beliau tinggal
dijertih,besut terengganu bersama anak2nya.Umur beliau dikatakan lebih
dari 90thn..Jasa cikgu ini tak terperi banyaknya keatas warga kampung
bukit gemuroh,Semuga beliau sihat sejahtera...)
(Bangunan sekolah pada tahun 1960,hanya
sebuah ini yang ada pada tahun itu,sekolah2 yg terdahulu telah
diceritakan seperti diatas.)
Guru2 yang lain yang sangat dikenali dan telah menjadi guru
tukaran kapada Cikgu Awang dan Cikgu Hawa ialah Cikgu Ismail bin Omar
dan isterinya Cikgu Embat binti Ismail@Jusuh.Kedua2 guru ini telah
datang berkhidmat sebelum negara mencapai kemerdekaan dan meneruskan
khidmatnya setelah negara mencapai kemerdekaan.Cikgu Ismail telah
meninggal dunia pada tahun 90an yang lalu tetapi isteri nya masih hidup
sehingga sekarang dan masih sihat.
Nama murid-murid yang pertama bersekolah adalah seperti
berikut:
1) Saleh Abdullah *
2) Ngah Ahmad *
3) Abdul Wahab Hassan
4) Long Ahmad
5) Meriam Abdullah
6) Mat Zin Mamat *
7) Ahmad Saleh. *
8) Ismail Jaafar. *
9) Jusuh Ahmad. *
10) Samad Mamat. *
11) Botok *
12) Seman *
13) En Mansur Zin *
14) Mansur Omar *
15) Mamat che Man *
16) Wan Zainab bt Tom Hamzah *
17) Lijah Ahmad
18) Hitam bt Hamzah
19) Hassan Abdullah
20) Taha Long
21) Harun Hassan *
22) Halimah Hitam *
23) Sulong bt Ahmad *
24) Ramlah bt Abdullah
(Nama-nama yang ditanda telah pun meninggal dunia dan mereka-mereka yang masih hidup sudah pun berumur melebihi 70 tahun)
Sekolah baru yang telah pun digunakan pada tahun 2012..
Senarai
diatas merupakan murid yang paling tua di Kampung Bukit Gemuroh. Ramai
lagi yang masih ada sehingga sekarang. Manakala penduduk yang lebih tua
daripada itu merupakan ibubapa kepada murid-murid tersebut dan tidak
bersekolah.
Selain
itu, pendidikan lain seperti pendidikan agama diajar oleh guru-guru
yang mengajar Al-Qur'an dan fardu kifayah yang dikendalikan oleh khatib
dan iman masjid. Guru pengajian Al-Qur'an yang paling berwibawa ialah
arwah Tuan Padang dan sangat disegani oleh murid-muridnya. Khatib yang
paling diingati sehingga sekarang bernama Tok khatib Hassan. Iman yang
paling masyhur di Kampung Bukit Gemuroh bernama Tok Iman Loh atau
Abdullah bin Mat zin, Arwah merupakan guru Al-Qur'an dan juga iman
masjid. Beliau juga merupakan bomoh tradisional dan khidmatnya mendapat
sambutan yang menggalakkan. Pada tahun 60-an di kampung ini ada upacara
mandi safar, Setelah diberi tarbiyah sedikit demi sedikit kegiatan ini
terhapus dengan sendirinya, (Semoga ALLAH mengampun kan dosa penduduk
yang sangat jahil diwaktu itu.) Kegiatan lain yang dikendalikan oleh
imam dan bilal adalah ratib kampung, Ratib ini sangat berpengaruh
diwaktu itu. Ia seolah-olah satu ritual. Ratib ini akan dibuat apabila
terjadi wabak penyakit keatas binatang dan penduduk. Biasanya ratib ini
akan disertai oleh semua penduduk kampung yang lelaki. Ia dimulakan
dihujung kampung dan disudahi dihujung yang sebelah lagi. Ditengah2
antara keduanya penduduk akan dihidangkan dengan makanan dan minuman
yang diputuskan terlebih awal.
Iman dan bilal boleh juga dibahagi kapada dua, iaitu Iman dan Bilal sebelum merdeka dan selepas merdeka:
a) Iman dan Bilal sebelum merdeka:
1) Khatib Salleh***** }
2) Omar bin ************* } Menjadi imam pada tahun2 40-an
3) Tok haji Zin bin Ali. }
4) Tok bilal Kasim bin ******* }
5) Khatib Hassan bin Abu Bakar@Ahmad }
6) Abdullah bin Yahya } Menjadi iman pada tahun 50-an
7) Tok Bilal Pilus bin Tok Khatib Hassan }
8) Hamzah bin Khatib Salleh }
9)Mamat Mina
b) Iman dan Bilal selepas merdeka
1) Abdullah bin Mat Zin
2) Latif bin Salleh
3) Jusuh bin Taib @ Tayib
4) Ahmad Jaafar
5) Ahmad bin Hamzah.
6) Abdul Ghani bin yusuf.
7) Sulong bin Ibrahim
8) Mansur bin Omar
9)Ali bin Ahmad
Imam dan bilal pada tahun 2012
1)Ali bin Ahmad
2)Ahmad bin Hamzah
3)Abdul Ghani bin yusuf
4)Sulong Ibrahim
Masjid
Kampung Bukit Gemuroh dibina pada tahun 70-an dan diubah sedikit demi
sedikit seperti yang ada sekarang, Sebelum merdeka, masjid ini terletak
di atas bukit, iaitu ketimur dari masjid yang ada sekarang.Yang paling
dikesalkan masjid ini tidak dibina dengan yang baru seperti kebanyakan
masjid2 yang ada di terengganu
Selain
dari pengajian diatas, tok-tok guru yang datang mengajar secara
sukarela dibeberapa buah rumah yang disediakan oleh penduduk kampung.
Pengajian ini boleh dikatakan lebih kepada menuntut. Yang dimaksudkan
dengan menuntut ialah Ilmu-ilmu yang diajar menjurus kepada Ilmu
kebatinan dan tarikat. Ramai anak murid kepada guru-guru yang mengajar
Ilmu kebatinan hidup sampai sekarang.
KEMUDAHAN ASAS
a)
Jalan raya hanya dibina selepas merdeka pada tahun 1957, merupakan
jalan tanah merah dan berbecak untuk menghubungkan pekan terdekat (Pekan
Kuala Berang). Pada awal tahun 70-an baru lah jalan diturap dengan tar
dan mutu turapan yang sangat rendah.
b)
Balai raya, klinik dan tali air dibina pada awal merdeka. Disitu lah
tempat menjadi tumpuan untuk dapat khidmat dan pekerjaan.
c)
Sekolah dibina sebelum merdeka dan dikatakan kemudahan asas yang paling
awal dibina selain dari pada masjid. Disitu lah tempat perjumpaan
penduduk kampung kerana dewan orang ramai dan balai raya masih belum
lagi dibina.
d)
Masjid merupakan bangunan yang paling awal dibina di Kampung Bukit
Gemuroh. Sebenarnya masjid dibina dibanyak tempat bermula dari Kampung
Tepas (kampung yang di bina sebelum perpindahan penduduk ketempat yang
ada sekarang). Di awal perpindahan, masjid dibina diatas bukit Kampung
Bukit Gemuroh, Mungkin kerana untuk keselesaan bangunan ini telah
dipindahkan ketempat lain iaitu ditapak yang ada sekarang.
e) Letrik dan bekalan air hanya dapat dimiliki oleh penduduk diawal tahun 80an.
PEKERJAAN DAN CARA HIDUP:
a) Pekerjaan.
i)
Pertanian awal yang diceburi pada masa itu adalah penanaman getah.
Getah ditanam seawal Penjajahan Inggeris di Tanah Melayu dan pokok getah
merupakan tanaman yang mula2 ditanam di Kampung Bukit Gemuroh seawal
tahun 40-an. ( industri getah bermula di Kuala
Kangsar pada tahun 1877 dan telah mula-mula diestetkan di Melaka pada
tahun 1902 dan dari situ lah penanaman getah mula merebak keseluruh
tanah melayu) Tidak diketahui siapa kah yang mula-mula membawa
benih getah ke Kampung Bukit Gemuroh. Dikatakan penduduk yang paling
menguasai penanaman getah bernama Haji Ali bin Sulaiman dengan kebun
beliau seluas 50 ekar dan dikatakan individu yang paling berharta pada
masa itu. Kebanyakan dari penduduk kampung mempunyai kebun getah sendiri
dan menjadikan getah sumber pekerjaan mereka. Kebanyakan dari mereka
mempunyai kebun dari 2 ekar sehingga 9 ekar. Dengan keluasan yang
seperti itu sudah memandai setelah dicampur dari hasil sumber lain.
Jiran
kepada getah adalah kelapa sawit. Kelapa sawit dikatakan sebagai satu
tanaman mewah kerana kos penjagaannya adalah tinggi. Kelapa sawit
tanaman yang diusahakan agak terkemudian sedikit berbanding tanaman
lain. Kelapa sawit mula ditanam pada tahun-tahun 80-an. Mungkin kerana
kehidupan pada masa itu agak susah kerana tanaman ini tidak diusahakan
terlebih awal. Setelah ada galakan daripada agensi seperti RISDA barulah
penyertaan penduduk jadi bertambah. Dengan harga yang tinggi tanaman
ini sangat berpontensi hingga sekarang.
ii)
Pertanian yang paling penting adalah tanaman padi. Tanaman padi hanya
bertaraf sara diri dan tidak dikomesialkan kerana kekurangan kawasan
penanaman. Tanaman padi dibahagikan kepada tiga, iaitu padi bukit, padi
huma dan padi sawah. Pada mulanya. penduduk Kampung Bukit Gemuroh hanya
mengusahakan penanaman padi bukit. Tempat yang paling popular untuk
penanaman padi ini adalah disekitar Bukit Langkap(t) dan kawasan sekitar
nya. Cara penanaman sangat mudah iaitu tebas/tebang, bakar (bersih
kawasan) kemudian barulah menanam biji benih. Pada masa yang sama
tanaman padi huma diusahakan dikawasan yang mendatar, cuma penanamannya
agak berbeza sedikit kerana tanah perlu dibajak dahulu dengan
menggunakan khidmat haiwan ternakan seperti kerbau dan lembu. Tempat
yang paling popular untuk penanaman ini seperti Pasir Tok Ali, Pasir
Panglima, Kandis dan Tanjung Limau. Penanaman padi sawah diusahakan
terkemudian sedikit. Disebabkan tanaman padi huma dan padi bukit kurang
produktif menyebabkan penduduknya telah bertukar kepada penanaman padi
sawah. Pihak kerajaan mula memberi subsidi (bantuan) kepada penduduk
kampung yang mengusahakan tanaman padi sawah berbentuk baja dan mesin
membajak sawah. Tempat yang diusahakan tanaman padi sawah ialah Padang
Nibong. Kawasan tersebut mempunyai keluasan lebih kurang 70 ekar dan
sangat berpadanan dengan taraf sara diri dalam penanaman tersebut.
iii)
Kacang tanah(disestengah tempat di terengganu kacang tanah di panggil sebagai kacang jawa) merupakan satu noltalgia kapada penduduk kampung kerana
tanaman ini mula2 memberi pendapatan kepada penduduk. Ia disertai oleh
semua lapisan dari golongan muda hingga golongan tua. Sejak daripada
awal penanaman sehingga memungut hasil, penduduk mengusahakannya secara
bergotong royong, kadang-kadang ia dianggap 'pesta' . Tanaman ini
diusahakan secara komersial pada akhir tahun 60an dan ia tidak
diusahakan lagi pada pertengahan tahun 80an secara komersial, tetapi
diusahakan secara kecil-kecilan oleh sesetengah penduduk kampung
sehingga sekarang. Tempat tanaman ini diusahakan di tanah di tepi sungai
yang diselang seli dengan penanaman padi huma.
iv) Selain dari tanaman tersebut ada sebahagian nya menanam sayur,tembakau dan berkebun buah2an.
v)
Sebahagian besar penduduk menjalankan kegiatan penternakan seperti
lembu, kerbau, kambing biri2,ayam,itik dan ikan, tetapi tidak
dikomersialkan secara menyeluruh.
vi)
Ada sebahagian kecil dari penduduk kampung , pada tahun2 60-an bekerja
sebagai guru, ustaz dan pembantu dijabatan kerajaan. Bilangan nya adalah
terlalu sedikit.
vii)
Perniagaan paling awal yang dilakukan oleh penduduk Kampung Bukit
Gemuroh pada awal tahun 1957 iaitu sebelum Malaya diisytiharkan
kemerdekaannya. Kedai hanya lah sebuah kedai syarikat Kampung Bukit
Gemuroh dan dijaga oleh penduduk yang dipilih. Gaji diketika itu hanya
lah berjumlah 3 ringgit sehari. Barang jualan berupa
gula,gandum,manisan (gula melaka) kopi,teh,biskut,gula2 atau pun coklat
(nescafee dan milo tak ada lagi masa tu, kerana dikatakan sebagai
barang mewah. Beras memang tak dijual lagi sebab penduduk sendiri
menanam padi dan masih mampu untuk saraan diri sendiri) Gula dan
gandum dijual dalam timbangan kati serta dibungkus dalam kertas, harga
gula sebanyak 25sen sekati manakala gandum berharga 15sen sekati.
Biskut dijual dalam bentuk keping, (5sen bagi 5 keping) Kedai syarikat muflis disebabkan pekerjanya kurang berpengalaman.
Selepas itu kedai bertambah kepada beberapa buah untuk membekalkan
keperluan kepada penduduk. Kedai yang paling popular pada masa itu ialah
Kedai Gan Kim Huat.
b) Cara hidup
Cara
hidup penduduk kampung banyak mengalami perubahan sejak dulu sehingga
sekarang. Dulu. kehidupan bermaterial tidak menjadi satu cara hidup
sangat, pergaulan antara penduduk sangat erat. Penduduk saling membantu
antara satu sama lain.
Diawal pagi penduduknya dah pun keluar mencari rezeki sama ada menoreh getah, berkebun, atau menanam padi.(Kebanyakan kerja dibuat secara gotong royong seperti tenggala (bajak) tanah dengan kerbau, mencedung padi dan sebagainya.) Bagi golongan kanak-kanak pula di hantar kesekolah
dan ada sebahagian kecil golongan muda berkerja makan gaji sama ada
mengambil upah bekerja di ladang atau dengan kerajaan. Dan ada
sebahagian nya hanya lepak dikedai kopi sambil bermain dam. Kalau tiba
musim banjir, penduduk tidak lagi melakukan aktiviti di kebun/ladang,
sebaliknya pergi memukat ikan, Selepas banjir kegiatan lain pula yang
menjadi tumpuan, seperti menauk ikan, menahan lukah atau bubu serta
tuar. Begitu lah pusingan nya setiap tahun rutin yang terpaksa dilalui
oleh penduduk kampung. Kalau ada majlis kahwin, kematian atau
majlis-majlis tertentu. penduduk akan bergotong royang membantu
menjayakan majlis tersebut sehingga selesai.
NAMA-NAMA TEMPAT/KAWASAN PERTANIAN YANG POPULAR DIMASA DULU-DULU:
Pasir
Kasar, Pasir Tok Ali, Pasir Babi, Pasir Panglima, Padang Nibong,
Kandis, Tanjung Limau, Pulau Buaya, Bukit Langkap, Paya Bukit Ubi, Darat
Rumah, Jongok Setar, Paya Tok Lebai Mahmud, Paya Tok Galak, Kubang
Pandan, Teluk Cempedak, Air Ulu, Buluh Apa(hampa), Alur Batu,Banggul
lelah, Bukit Gambir, Bukit Perah, Paloh, Bukit Cengal Pulas dan beberapa
nama lain yang agak terpencil.....seperti Kubang Mak Mitho Jering Tupai
dan Bukit Ah Kang.
Pengkalan mandi penduduk kampung,Dulu ia
dibina dengan baik dan mempunyai pelantar yang besar,Pada masa2 tertentu
ianya akan dilanda banjir menyebabkan berlaku kerosakan dan sekarang
pengkalan ini sudah tak digunakan lagi dan sudah ditinggalkan terbiar....
Oleh kerana Kampung Bukit Gemuruh dibina ditepi sungai, wujud
pengkalan mandian bagi penduduk kampung dengan nama masing2 seperti
Pengkalan Kasar, Pengkalan Masjid, Pengkalan Tengah, Pengkalan Bukit
Gemuruh dan Pengkalan Padang Nibong. Semua pengkalan mandian ini masih
wujud lagi tapi sudah jarang2 digunakan (hanya tinggal kenangan).
(PALOH
: Paloh merupakan sebuah tasik ladam terjadi dari sungai
tersat.Dikatakan pada kurun ke-19 sungai tersat di Kampung Bukit Gemuruh
(dulu Kampung Tepas) sangat berliku dan menyusahkan perahu dagang dan
penduduk kampung di sebelah hulu untuk berulang alik ke FO- LA- AN (
nama Kuala Berang lama).Untuk
menyenangkan perahu2 dagang dan penduduk kampung melakukan aktiviti,
maka keputusan diambil untuk mengali kawasan yang paling pendek antara
tebing yang berliku bagi memudahkan perjalanan. Perlu diingat waktu ini
sungai merupakan jalan terpenting untuk pergi ke sesuatu tempat selain
dari denai2 hutan).
Dikatakan sungai tersat pernah digunakan oleh
Pendakwah Islam Arab dalam usaha mereka untuk menyebarkan Islam.Dengan
bertemunya batu bersurat dikampung buluh ia-itu disungai tersat pada
1887 menguatkan lagi hujah yang mengatakan sungai ini menjadi laluan
mereka. Ada nya makam Tun Indera dan makam Tok Belian mahmud menjadi bukti bahawa sungai tersat menjadi laluan yang penting.
Makam Tok Tun Belian Mahmud
REAKSI PENDUDUK KAMPUNG BUKIT GEMUROH SEMASA PERISYTIHARAN KEMERDEKAAN MALAYSIA PADA 31 OGOS 1957.
Oleh
kerana Kampung Bukit Gemuroh terletak dikawasan yang agak jauh
(pendalaman) dari kawasan pekan, pada hari Perisytiharan Kemerdekaan
Malaysia, penduduk Kampung Bukit Gemuroh tak terasa dan tidak
mengetahui tentang tarikh tersebut. Diceritakan perkara tersebut terjadi
disebabkan masalah perhubungan yang sememangnya
menyukarkan penduduk berhubung dengan masyarakat luar. Dikatakan
walaupun peristiwa kemerdekaan adalah penting dalam sesebuah negara dan
rakyat mesti menyambutnya dengan sukacita dan bersyukur, tapi peristiwa
tersebut (merdeka) tak terasa dikawasan
yang tertentu seperti Kampung Bukit Gemuroh, kerana keadaan (peperangan
dan penaklukan penjajah) tak menyukarkan. (Kampung
Bukit Gemuroh terletak ditempat yang agak terkeluar dari kawasan
bermasalah, jadi peristiwa seperti pertempuran dengan pihak penjajah
tidak terjadi dalam kadar yang kerap. Diperistiwa dharurat di Tanah
Melayu dapat dirasakan oleh penduduk kampung kerana adanya perintah
berkurung dikuatkuasakan dan kelibat komunis bintang tiga ada
kelihatan, tetapi kurang membawa masalah kapada penduduk. Jadi
perisytiharan kemerdekaan tidak menjadi satu peristiwa yang
dinanti2kan. Sekiranya tiada perintah berkurung kemungkinan besar
peristiwa dharurat di Tanah Melayu tidak diketahui oleh penduduk Kampung
Bukit Gemuruh .Dan kemungkinan besar masalah pendidikan di masa itu
yang tidak memungkinkan erti merdeka dihayati dengan sepenuhnya.Walau
macam mana pun dipekan kuala berang diadakan satu majlis untuk menyambut
hari kemerdekaan Malaysia pada tarikh 31hb august 1957 pada pukul 12.05
tengah malam dengan menurun kan bendera union jack kapada bendera
persekutuan tanah melayu.Mereka2 yang dilihat hadir pada majlis tersebut
ialah Setia bin Abu Bakar selaku wakil raayat dimasa itu,Abu bakar bin
Ahmad dan beberapa individu penting dipekan kuala berang dan kampung2
sekitarnya.)
KAMPUNG BUKIT GEMUROH SEKARANG:
Kampung
Bukit Gemuruh boleh dikatakan mengalami perubahan yang agak sederhana
sejak ia diwujudkan pada dari tahun 1927. Rumah - rumah untuk dijadikan
penempatan kekal telah banyak didirikan. Waktu dulu,secara puratanya,
rumah penduduk kampung mungkin sebanyak 50 buah rumah sahaja. Tetapi
kini, sebanyak 136 buah telah bertambah. Begitu juga dengan penduduknya,
mungkin sekarang seramai 600 orang penduduk (dianggarkan secara rawak).
Dari segi kemudahan asas pula,telah banyak didirikan untuk memberi
keselesaan kepada penduduk kampung. Antaranya :-
1) Sekolah Kebangsaan Bukit Gemuruh (sedang dibina untuk mengantikan dan membaikpulih bangunan yang sedia ada.)
2) Dewan sivik.
3) Balairaya.
4) Klinik.
5) Dewan orang ramai (dalam pembinaan)
6) Masjid dan surau
7) Gelanggang Serba Guna ( boleh digunakan untuk bermain bola tampar, takraw, badminton dan futsal )
Walau
bagaimana pun, insfrastruktur telah sedia ada ini belum mampu untuk
memberi keselesaan yang sewajarnya kepada penduduk kampung. Hal ini
terjadi kerana tiada kawasan yang strategik untuk membina kemudahan asas
yang lain seperti yang terdapat di kampung - kampung lain. Untuk
menampung penduduknya yang semakin ramai, pihak berkuasa telah pun
kebenaran untuk membina/membuka satu kawasan penempatan baru bagi
penduduk kampung di satu kawasan di Bukit Cina dan telah pun diberi
pemilikan tetap.
Balai raya baru yang baru dibuka pada 24hb.mei 2012...
Dari
segi perekonomian pula, penduduknya boleh dikatakan berada ditahap yang
sederhana. Majoriti penduduknya masih berkerja sebagai petani,
sebahagiannya bekerja sebagai peniaga dan ada yang menjawat jawatan
dalam kerajaan. Sebanyak 5 buah kedai telah didirikan untuk menampung
keperluan asas penduduk (sebuah kedai runcit dan 4 buah kedai
kopi/makan.) Terdapat sebahagian kecil penduduk kampung berhijrah ke
negeri - negeri lain seperti Kuala Lumpur, Johor, Kedah dan sebagainya
untuk mencari rezeki. Tahap pendidikan penduduknya pula, majoritinya
ditahap menengah dan ada sebahagiannya lepasan universiti.
(Kampung
Bukit Gemuroh terletak 440km dari bandar raya Kuala Lumpur,45km dari bandaraya Kuala Terengganu
dan 8km dari Kuala Berang..Kawasan rekreasi: Jauh nya tempat2 tersebut
ialah seperti berikut.Air Terjun sekayu 8km,Kawasan Perkelahan kampung
Belukar Bukit 13km.Pengkalan Gawi Tasik Kenyir 47km,Empangan hidro
letrik Sultan Mahmud 20km.Kawasan santuari gajah dipersisir tasik kenyir
100km)
Semuga kampung bukit gemuruh sentiasa dalam rahmat ALLAH.SEKIAN...
.
Google map menunjukkan kampung Bukit Gemuruh dan sekitar nya,Semua tempat yang
disebut diatas ada dalam peta ini..Tertera didalam nya kampung lama
Bukit Gemuruh iaitu kampung Padang Tepas.
"Diawal pagi penduduknya dah pun keluar mencari rezeki sama ada menoreh getah, berkebun, atau menanam padi.(Kebanyakan kerja dibuat secara gotong royong seperti tenggala (bajak) tanah dengan kerbau, mencedung padi dan sebagainya.) Bagi golongan kanak-kanak pula di hantar kesekolah dan ada sebahagian kecil golongan muda berkerja makan gaji sama ada mengambil upah bekerja di ladang atau dengan kerajaan. Dan ada sebahagian nya hanya lepak dikedai kopi sambil bermain dam".
ReplyDelete