Seketika, muncul wajah Che We Meriam yang berkerut kepanasan dan duduk disebelah Mak Teh. Dia mengesat dahi dengan lengan baju kebaya lusuhnya...
"Banyak mana mu buat upoh (rempah) nya," tiba-tiba tanya Che We Meriam
"Kelih (tengok) aje lah, dua tiga puluh sen yang budak-budak beli, tu aje lah," jawab Mak Teh berlagu. Dia menunjuk ke arah rempah yang berselerak..
"Daun taruk (jenis-jenis sayuran) nya mana," Tanya Che We Meriam lagi..
"Budak hok gi cari daun taruk dok balik lagi". Jawab Mak Teh
"Sape gi cari daun taruk tu Mak Teh"? Tanya Jarah pula.
"Hai sape lagi, budak dua tiga kerat tu lah, Bakar, Mahalim, Hamir" Jawab Mak teh penuh berlagu.
"Hai Jarah buat-buat tanya pula..abang Kar..mesti lah ada sama" Yati memerli,
Jarah yang hampir menangis terkena air bawang mula radang, dia bangun mencubit paha Yati. Yati menjerit kesakitan. Semuanya ketawa kecil.
***********************************************************************************************************
"Hai apa yang bising ni,"? Tiba-tiba suara lelaki menyergah dari bawah, suasana gamat tadi bertukar, semuanya menjadi malu dan tersipu-sipu.
Ketibaan Bakar diikuti oleh Mahalim, Deraman dan Hamir. Masing-masing bergalas dengan daun taruk. Rambut Deraman yang lurus menyerupai rambut Bruce Lee kelihatan bergerbang tersangkut ranting semasa menyusup nyasap didalam hutan tadi. Begitu juga Mahalim. Kain pelikatnya yang lapuk digulung tinggi. Ternampak kepala lututnya yang berparut. Betis Hamir yang berbulu lebat penuh dibaluti selut lembik (lumpur). Seperti kerbau yang baru naik berkubang. Mereka berempat termengah-mengah keletihan. Mahalim melemparkan galasan keriba Mak Teh. Mak Teh terkejut dan melatah. Dia bangun melompat. Banyak terkeluar kata-kata lucu. Suasana gamat semula. Deraman kelihatan menyental-nyental kaki kepangkal kelapa. Pacat-pacat yang menjangkau kekakinya tidak mahu tanggal. Lalu dipunggut dua tiga ekor dan dicampak kedalam api. Dua tiga kali bunyi letusan kecil...
"Kenapa lambat sangat Che Bakar,"? Tanya Yati selamba, tak habis-habis memerli.
"Hai..apa boleh buat Ti, kami pun nok bangat (cepat) Cuba kelih (tenguk)ni betis kami macam dikerkau harimau,"Jawab Bakar sambil menunjukan betisnya yang bercalar kapada Yati.
.
"Jauh ke tempat mu cari daun taruk tu,"? Tanya Yati..
"Jauh tu dok (tidak) lah..tapi masuk hutan, harung paya, lintah pacat he..tak boleh nak cerita," Jelas Bakar. Nadanya agak menarik. Yati kelihatan geli geleman mendengar cerita Bakar itu..
"Tadinya,Jarah dah mula risau," Perli Yati tak habis-habis, Bakar hanya tersenyum simpul. Mahalim, Deraman dan Hamir tercegat keletihan.
"Buat ape mu tercacang(berdiri tegak kaku) tu. Gi basuh kaki, pahtu mari siang daun taruk ni. Ramai buat cepat siap," Ajak Mak Teh bersungguh-sungguh..
"Hai lenguh dok hilang lagi ajok kerja puloh doh," Jawab Deraman..
"Doh, kalu mu tercacang gitu, bila nk masak ubur lambuk ni, le ni pukul berapa dah, pukul tiga lebih,
Sebentar lagi nak berbuka puasa pulak, Hai..dok tau lah aku budak-budak le ni malas sangat."
Leter Mak Teh bersambung-sambung..
"Hai bulan puasa ni dok baik marah-marah Mak Teh,"Sampuk Mahalim.
Mak Teh hanya mengemek-ngemekan bibirnya sahaja. Che we Meriam yang tercangkung memerhati sejak tadi segera bangun. Dia mengambil dua besen besar kosong dan meletakkan disisi Mak Teh..
"Ha, sekarang mari sini semua,"Ajak Mak Teh.
Budak-budak tadi terus datang duduk mengelilingi Mak Teh
"Siang daun taruk ni halus-halus. Besen yang ini isikan pucuk paku midin'(paku merah),dan yang satu lagi sebelah Mak Teh tu campur daun kaduk, daun taruk manis, daun kunyit, daun derdat, daun kemangin, daun kesum dan daun serai kayu,"..Mak Teh mengarah betul-betul kapada budak-budak tadi.
Mereka kemudian mencabit-cabit daun-daun(daun taruk) itu sehingga penuh dua besen yang memuat lima gantang itu..
***********************************************************************************************************
Che we Meriam yang hanya memerhati sejak tadi cepat-cepat bangun dan menuju kawah. Api masih menjulang. Lega hati Che we Meriam. Kawahnya mula mengelegak. Beras didalamnya telah pun pecah-pecah. Telah menjadi bubur. Che we Meriam mengeluh kepuasan. Anak dara berempat tadi diperintahkan supaya membawa kesemua peralatan rempah dan daun taruk kebawah. Che We Meriam salah seorang Ahli jawatan kuasa kaum ibu di Kampung Bukit Gemuroh itu. Semua arahan nya tak pernah diingkari oleh sesiapa pun. Lagi pun dia ketua bahagian masak memasak. Semua taruk dan rempah-rempah tadi dimasukan satu persatu mengikut arahan Che We Meriam. Dia mengacau dengan senduk panjang yang dibuat dengan pelepah kelapa. Satu jam kemudian kawah itu diangkat dengan pertolongan Tok Bilal Latif yang baru saja tiba. Mak Teh turut membantu. Budak lelaki tadi entah kemana menghilang.
***********************************************************************************************************
Che We Meriam tidak pulang sejak petangnya. Malamnya akan bersolat terawih pula. Lampu spirit yang dihidupkan oleh Tok Bilal Latif sebelum berbuka tadi, tergantung tinggi. Bahagian beranda masjid terang berderang. Hanya Che We Meriam keseorangan. Dia begitu ghalib (leka) mengapur daun sirihnya. Mencuci mulut selepas berbuka. Sejurus kemudian Saleh tiba, Saleh anak kapada tok iman dikampung tu. Dia membawa lampu spirit kedalam. Digantungnya dibahagian tengah-tengah masjid. Seluruh ruang terang benderang. Surat dan kitab-kitab usang jelas kelihatan dilubang-lubang tiang. Tabir buruk yang sudah usang yang koyak rabak, sebagai pemisah bahagian solat perempuan melambai-lambai ditiup angin malam. Ketayak-ketayak (kopiah) yang tidak ada putihnya lagi dan songkok-songkok yang telah lusuh juga bersangkutan di dinding. Baju solat wanita yang berdaki bersidaian didawai tabir...
***********************************************************************************************************
Waktu isyak akan tiba, sejurus tiba beberapa orang lagi iaitu Tok Pukok Ismail, Che Leh Pukak, Dolah Yu, Tok Pulut, Tok Khatib Janggut, Bidin buta dan lain-lain. Sejurus tiba pula dua tiga orang wanita iaitu Tok Halus, Minah Tok Hiti, Mak De Timah, Mak Teh Embong, Tok Timah Tok Mail, Tok Haram dan diikuti dua tiga orang anak dara Jarah, Yati dan Sara. Masing-masing berselubung. Mereka masuk ke masjid dan mengenakan pakaian untuk solat. Sejurus kemudian kedengaran riuh rendah, gegak gempita, seperti sekumpulan musuh yang akan menyerang masjid lakunya. Kumpulan budak-budak datang terawih. Dua tiga puluh orang ramainya. Ada yang bertempik, Ada yang terjatuh, Ada yang kena langgar, Ada yang berpimpin berderet-deret, macam-macam kejadian. Masing-masing mahu cepat benar. Mereka takut benar melintasi kubur disitu. Ada yang membawa pelita, Ada yang membawa tanglung, Ada juga yang membawa puntung kayu yang berbara, dikibar-kibar supaya terang. Tidak kurang juga yang bergelap. Setiba kumpulan ini hampir runtuh masjid dibuat nya.
***********************************************************************************************************
Perasaan Che We Meriam mula bertukar. Dia tahu benar kalau tiba pasukan budak berterawih, tentu sekali suasana menjadi gamat. Dia tidak menghiraukan sangat dan masuk mengenakan baju untuk solat. Tok Bilal Latif dan Tok Iman Dolah tiba sejurus. Budak-budak yang bising dan berkelompok, bersandar ditiang diam. Mereka begitu takut dengan Tok Imam Dolah yang lalu depan mereka. Seperti tikus yang takutkan kucing lakunya. Bercangkungan seperti tunggul mati.
***********************************************************************************************************
Diluar masjid Saleh terus memukul geduk(geduk dibuat dari kulit kerbau). Suara Tok Bilal Latif bergema mengalunkan azan. Solat isyak dimulakan diikuti dengan solat terawih. Tok Imam Dolah didepan dan dua saf dibelakang manakala budak-budak satu saf. Disebelah kaum wanita berbaris juga dua tiga saf pendek termasuk Che We Meriam, Mak Teh dan dua tiga orang anak dara tadi. Berlalu sudah dua rakaat pertama solat terawih.Diikuti oleh sahutan budak-budak yang memecah kesunyian.
***********************************************************************************************************
Che We Meriam cepat-cepat menanggalkan baju sembahyangnya dan terus ke anjung masjid dan menyeduk bubur lambuk yang separuh hangat. Satu demi satu. Budak-budak terus menerkam. Berebut mengambil bubur lambuk sepinggan seorang. Riuh rendah. Seperti anak itik berebut makanan. Ada yang terlanggar sama sendiri. Tertumpah bubur lambuk tercurah kebaju kawan. Che We Meriam bersama dua tiga pembantu tidak henti-henti menyenduk bubur lambuk sepinggan demi sepinggan. Tidak sampai beberapa minit sahaja suasana disitu menjadi sunyi sepi. Budak-budak semua telah pulang. Hanya tinggal pingan-pingan yang berserakan. Bubur lambuk bertumpahan kelantai. Hanya Che We Meriam tercangkung disisi besen besar yang telah kosong.
***********************************************************************************************************
Didalam masjid Tok Imam Dolah dan Tok Bilal Latif sedang khusuk ditikar.Mereka membaca Al Quran. Suara mereka sayup-sayup kedengaran dan bergetar...